Thursday, December 2, 2010

:: Suruhanjaya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi ::

Suruhanjaya Di Bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Diwujudkan Jan 2011

Satu suruhanjaya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 akan diwujudkan selewat-lewatnya Januari tahun depan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Wira Kamaruddin Siaraf kini sedang berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan keperluan tenaga kerja, emolumen serta keperluan-keperluan perkhidmatan yang lain bagi suruhanjaya tersebut.
“Sekarang suruhanjaya itu sudahpun diwujudkan dari segi perundangan, cuma dari segi perkhidmatan kita harus bekerjasama dan menerima lokasi dari JPA dan ini sedang kita urus sekarang.
“Saya kira tidak lewat dari Januari tahun depan tetapi mungkin pada akhir tahun ini kita dapat selesaikan rangka tenaga manusianya, juga merancang tentang logistik yang diperlukan oleh jabatan baru ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 bagi warga kementerian di sini pada Selasa.
Seramai 772 kakitangan kementerian dan agensi serta jabatannya menerima anugerah yang turut dihadiri dua timbalan Rais iaitu Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Kamaruddin serta ketua-ketua jabatan termasuk Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Zulkefli Salleh.
Rais berkata dengan wujudnya suruhanjaya ini, maka agensi dan jabatan di bawah kementerian bertambah menjadi 19 kesemuanya.
Beliau berkata suruhanjaya itu juga berkait rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia menggunakan ilmu forensik komputer.
“Selain itu, pesuruhjayanya bukan calang-calang orang, beliau perlu terlatih dalam soal-siasat, pemeriksaan balas dalam persoalan mahkamah dan lain-lain,” katanya.
Rais berkata kedudukan syarikat-syarikat lain termasuk Credit Tips Off Sdn Bhd (CTOS) yang selama ini menggunakan data peribadi seseorang kini terletak di bawah bidang akta baru itu.
“Justifikasinya perlu dipohon kepada suruhanjaya tersebut, mereka tidak boleh lagi bergerak seperti biasa lantaran undang-undang ini akan mengenakan beberapa syarat dan sebelum syarat ini dipenuhi maka syarikat sepertinya tidak boleh beroperasi seperti sedia kala,” katanya.
Akta yang diluluskan Parlimen pada April lepas antara lain bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial oleh pengguna data untuk mengadakan perlindungan kepada data peribadi individu itu, dan dengan itu melindungi kepentingan individu berkenaan.
Menurut akta berkenaan seseorang pengguna data yang melanggar peruntukan Seksyen 5(1) telah melakukan satu kesalahan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda RM200,000 atau kedua-duanya sekali.
Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang akan dilantik di bawah akta itu akan bertanggungjawab memantau segala aktiviti syarikat-syarikat berkenaan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata kakitangan awam tidak perlu berasa selesa dengan pencapaian pada masa kini tetapi apa yang penting adalah bagaimana untuk mengekalkan pencapaian tersebut di masa hadapan.
“Hendak kekal pencapaian bukan senang, tetapi sukar, dalam hidup kita sentiasa dilumbai, keadaan dalam perkhidmatan yang statik dan tidak perlu ditokok tambah adalah sifat yang tidak baik, jadi kita perlu taruh dalam diri bahawa bulan depan tentu kita lebih cemerlang lagi,” katanya.
Rais berkata setiap kali menerima ganjaran, kakitangan awam perlu berkhidmat dengan lebih lagi kepada kerajaan dan negara serta rakyat.
“Kita utamakan rakyat dan pencapaian kita, saya minta pegawai bangkit, berjuang bersatu dalam gagasan 1Malaysia, semestinya kita mesti garap bersama,” katanya.
Quoted from : BERNAMA

No comments: